June 26, 2024

TIBA MASANYA

2 min read

Pakatan Harapan telah berjaya melakukan perubahan politik tanah air yang bersejarah pada 2018. Tetapi belum tamat tempohnya ia telah dijatuhkan dengan secara mengejut.

Demi meletakkan politik negara kembali kepada keadaan stabil serta pelaksanaan terancang dan teratur pelan transisi penggantian kepimpinan negara justeru menjaminkan penerusan legasi terbaik maka disarankan peralihan kuasa kepada Perdana Menteri menunggu Dato Seri Anwar Ibrahim.

Peralihan kuasa ini peri penting demi masa depan negara, demi menunaikan janji yang telah termeterai dan sering diungkapkan, demi kestabilan politik yang kini asyik diganggu gugat anasir serta jembalang politik, demi menghormati keputusan serta pilihan rakyat dan demi kestabilan ekonomi negara berhadapan iklim ketidaktentuan global.

Anwar Ibrahim adalah Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) , iaitu rakan kongsi dalam Pakatan Harapan (PH).

Dia adalah perunding dan pendamai dalam usaha untuk membentuk pakatan politik yang berkesan dan berjaya memenangi PRU14 pada 9 Mei 2018.

Anwar Ibrahim juga Perdana Menteri menunggu yang telah dipersetujui dalam perjanjian secara rasmi oleh Tun Dr Mahathir dan semua rakan-rakan PH serta dia diterima secara umum oleh rakyat.

Tempat dan tanggungjawab Anwar Ibrahim adalah untuk berada di persada untuk memimpin negara ke arah kejayaan.

Anwar Ibrahim adalah seorang rakyat Malaysia, seorang Muslim yang komited, seorang Melayu, seorang demokrat dan dia berjuang untuk keadilan dan kebebasan bagi semua rakyat Malaysia, dan tidak ada sebarang masalah atau percanggahan dalam semua ini.

Anwar Ibrahim telah dengan konsisten sepanjang hidupnya sebagai seorang yang gigih berusaha serta berkorban untuk reformasi dan pembaharuan, memerangi rasuah, bekerja keras untuk akauntabiliti dan tadbir urus yang baik, memperjuangkan politik idealisme, menekankan pentingnya moral dan etika dalam mempertahankan demokrasi serta menegakkan keadilan yang merentas bangsa dan agama, demi untuk semua rakyat Malaysia.

Anwar Ibrahim merupakan pemimpin terbaik bagi mewarisi legasi gemilang negara. Politik perubahan memerlukan pemimpin berwibawa melaksanakan idea dan pendekatan baru serta mengemudi dan menangani cabaran pluraliti, kepelbagaian dan kemajmukan etnik serta agama bagi memacu negara pada masa depan.

Akhirkalam, Malaysia negara kita yang tercinta, amat memerlukan politik luhur yang diterajui jiwa besar, berwawasan dan berlapang dada.

Kepimpinan unik ini ada pada sosok Dato Seri Anwar Ibrahim yang berupaya mengetepikan sentimen, mudah memaafkan dan setia dalam mengutamakan matlamat lebih tinggi iaitu Malaysia yang berjaya.

I S L A H ME D I A

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *