June 26, 2024

ANWAR IBRAHIM: MEMPERTAHANKAN IDEALISME ANAK MUDA DARIPADA KILAUAN MEMUKAU PANGKAT DAN HARTA

2 min read

Samada dulu atau sekarang anak muda itu dikaitkan dengan idealisme. Bedanya bukan umur, bukan pengalaman kerana pengalaman itu mengambil waktu, menuntut waktu, tetapi cetusan idealisme. Kita lihat kekuatan itu kekuatan ilmu, memercu semangat dorongan idealisme yang menolak kemungkaran, kezaliman, kesesatan dan memilih cara yang agak lebih sukar – mempertahankan nilai yang benar. Pada surah al Kahfi ayat 13 dan 14, yang ditekankan di situ ialah kebesaran Allah dan idealisme yang menolak kemungkaran dan mempertahankan kemurnian.

Kami kisahkan kepadamu (Muhammad) cerita ini dengan benar. Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambah pula untuk mereka petunjuk. Dan Kami meneguhkan hati mereka diwaktu mereka berdiri, lalu mereka pun berkata, “Tuhan kami adalah Tuhan seluruh langit dan bumi; kami sekali-kali tidak menyeru Tuhan selain Dia, sesungguhnya kami kalau demikian telah mengucapkan perkataan yang amat jauh dari kebenaran.”’

Dan inilah cabaran terbesar dalam perjuangan kerana bila kian dewasa lebih banyak tolak ansur dan komprominya. Sebab itu ada kelucuannya apabila Winston Churchill sebut bagi Barat kalau anak muda tidak ada ciri sosialisme, anak muda itu bukan muda. Kerana sosialisme semasa itu dikaitkan dengan perjuangan rakyat, penderitaan kemiskinan. Tetapi kebiasaannya, lazimnya apabila meningkat dewasa semua sosialis-sosialis itu menjadi ‘Iblis kapitalis’.

Oleh yang demikian menanam semangat dan ruh perjuangan itu mesti benar-benar tepat dan kental kerana kita sebagai manusia biasa mudah terpukau dengan kuasa dan harta. Ada di kalangan gerakan kita yang boleh bergelut dalam keadaan susah dan payah pahit getir tetapi tewas dengan kilauan harta dan kuasa yang memukau.

Oleh sebab itu asasnya tidak boleh lari daripada al Qur’an. Apabila kita membaca al Qur’an, pengalaman mengajar kita bahawa harta dan kuasa mampu memukau dan merosakkan melainkan idealisme perjuangan yang kental.Merujuk asbabun nuzulayat Aali Imran 3:152 – sebab-sebab turun ayat merujuk Perang Uhud – ringkasnya orang yang bersama-sama Rasulullah s.a.w. , bersama-sama mempunyai idealisme tetapi sebaik saja melihat harta rampasan ghanimah mereka meninggalkan perjuangan. Mereka telah terpukau dan itu adalah peringatan bagi kita. Walaupun pada akhirnya mereka dimaafkan.

Dan sesungguhnya Allah telah memenuhi janji-Nya kepada kamu, ketika kamu membunuh mereka dengan izin-Nya sampai pada saat kamu lemah dan berselisih dalam urusan itu dan mendurhakai perintah (Rasul) sesudah Allah memperlihatkan kepadamu apa yang kamu sukai. Di antaramu ada orang yang menghendaki dunia dan diantara kamu ada orang yang menghendaki akhirat. Kemudian Allah memalingkan kamu dari mereka untuk menguji kamu, dan sesunguhnya Allah telah memaafkan kamu. Dan Allah mempunyai karunia (yang dilimpahkan) atas orang orang yang beriman.

Pengajaran kepada kita ialah belum pasti orang yang bicara soal kebenaran dan akhlak di peringkat muda itu dapat bertahan melainkan diasahkan kefahaman dengan lebih luas.

Muda itu bukan saja pada usia tetapi iltizam kepada idealisme perjuangan.

I S L A H M E D I A

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *