June 26, 2024

ANWAR IBRAHIM: BERHIKMAH DAN BERSANGKA BAIKLAH SESAMA KITA

3 min read

Semasa di penjara di antara kitab yang saya selalu merujuk adalah karya al marhum Syaikh Muhammad al Ghazali tokoh ilmuan al Azhar, pentafsir berjudul al-Tafsir al-Maudhu’i. Tafsir al Qur’an yang menurut tema atau tajuk.

Sewaktu muda, saya pernah hadir kuliah Syaikh Muhammad al Ghazali di Dammam, saya tertarik dengan kupasannya tentang pendidikan Islam dan cabarannya berhadapan fenomena al ghazwul fikr – penjajahan pemikiran, di mana pemikiran kita ini terlalu terperangkap dengan pemikiran asing atau Barat. Hilang keaslian kita, faham agama kita, dan tasawur pemikiran kita. Kupasan yang sangat mendalam dan bernas. Pada sesi soaljawab, menjawab kepada pertanyaan seorang pemuda yang agak keras, dia menjelaskan masalah apabila rupa wajah dititik beratkan namun isinya, hakikatnya bahawa umat ini, manusia ini berhadapan dengan masalah besar kerana ketandusan ilmu, kedangkalan ilmu, agama diperalatkan, fahaman agama diremeh dan disempitkan, dan seluruh kerangka pemikiran kita itu mengambil, menciplak terus daripada pemikiran Barat. Inilah yang isi pandangan kita yang tidak dinilai dengan baik.

Lama kemudian, saya mengundangnya ke Universiti Islam Antarabangsa dan kita menyampaikan anugerah kepada Syaikh al Ghazali. Dalam ucapan saya di majlis itu , saya kenangkan betapa hikmah saya pelajari daripada Syaikh al Ghazali, kebijaksanaan cara jawapannya yang berbeda besar dengan apa kita saksikan sekarang.

Saya mengusulkan kepada anak-anak muda terutamanya apabila kita belajar, kita mendengar tadhkirah, dan mengamati ilmuwan sebagainya, tetapi kita harus juga berpemikiran terbuka, kritis dan melihat latarbelakangnya, kalau penyampainya juga membawa pemikiran yang ta’asub ini, setia hanya kepada orang tertentu langsung tidak mahu merujuk pandangan. Seolah-olah, ‘saya pandangan saya, fatwa saya, pemikiran saya’, tidak langsung merujuk kepada ulama’-ulama’ besar. Ini satu keangkuhan baru dan sikap yang harus diperbaiki.

Saya pernah ke Riyadh bersama al marhum Ustaz Fadzil Nor. Sewaktu itu, saya presiden dan dia timbalan presiden ABIM, berjumpa dengan Fathi Yakan, pejuang, pemikir, ‘alim dari Lubnan. Pada masa itu perbincangan tentang isu takfir, anak-anak muda bergaris keras cepat menghukum ‘ini Islam dan itu jahiliyah’. Ustaz Fathi Yakan berkata, “Anwar, Fadzil, kamu kena ingat bahawa masalah di kalangan umat, terutama di dalam pergerakan Islam itu sendiri adalah masalah ghurur”Ghurur ini adalah ananiyah, sombong, angkuh, apabila ‘dia ingat dia seorang betul dan yang lain salah, jahil dan dangkal belaka’. Itu pandangan Ustaz Fathi Yakan yang sangat dihormati.

Adakah saya patut singgung kecaman-kecaman terhadap saya? Saya rasa tak perlulah. Bagaimana nak buat, kalau musuh-musuh politik kaya dapat wang beratus juta ringgit sepertimana berlaku sekarang, maka orang-orang diupah. Apabila disuruh memaki hamun, dia memaki hamun. Suruh dia kecam, dia kecam. Soal haqq dan batil, benar dan palsu tidak diambil kira kerana dia sudah menjadi laskar upahan. Sudah tentu saya tidak dapat menjawab semua. Tetapi jika ditanya dengan baik saya jawab dengan baik. Ini yang perlu.

Contohnya ditunjuk gambar-gambar saya bersama John Kerry, Al Gore. Sebenarnya banyak lagi saya sendiri boleh tunjukkan dengan pemimpin-pemimpin Barat. Tetapi yang dia tidak tunjuk ialah hubungan baik saya dengan pemimpin-pemimpin Islam, parti-parti Islam, gerakan Islam di dunia Islam. Ini ramai.Saya tunjukkan contohnya di sini: -Amir negara Qatar. Berjumpa berkali-kali di Doha atas undangan beliau.

Syaikh Rashid al Ghanoushi, pemimpin Islam terkemuka dan yang sangat dihormati. Bertemu dengannya samada di Tunisia atau di Istanbul. Kadang-kadang apabila saya ke Istanbul, dia sanggup ambil penerbangan datang berjumpa saya di Istanbul. Saya sangat menghormatinya.

Khalid Mesh’al pemimpin Hamas Palestin. Setiap kali saya ke Doha, dia akan cuba bagaimanapun untuk mengadakan pertemuan samada di rumah Syaikh Yusof al Qaradawi atau di tempat lain. Dia datang ke sini ke pejabat saya di Petaling Jaya dan kami berbincang panjang lebar.Rached Tayyip Erdogan, Presiden Turkey. Ini biasalah, berpuluh-puluhan gambar ada. Baru-baru ini bersama dengan Azizah bertemu Erdogan dengan isterinya Aminah di kedutaan Turkey di Kuala Lumpur undangan makan malam bersamanya. Berulangkali kami ke Ankara dan Istanbul sebagai tetamu beliau.

Tetapi isunya sebenar bukan siapa saya jumpa tetapi isunya adalah pendirian kita secara keseluruhannya. Bukan bermakna hari ini saya bersama Erdogan, saya sokong dia, esok saya bersama Khalid Meshaal, saya Hamas, kemudian esok saya di Amerika… Tak betul begitu.

Kita ada peranan dan tanggungjawab untuk menjaga kepentingan umat, kepentingan negara kita dan kita harus bersikap baik dan adil dengan siapa saja untuk kebaikan umat dan negara kita.

Hamdan Kepala Batas,
I S L A H M E D I A

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *